Datuk Dr Rozmey

JITRA, 9 April (HPM) – Fenomena penerbit baru kini sedang hangat diperkatakan. Pelbagai kritikan dan cemuhan didengar tatkala nama insan ini semakin meniti dibibir 1Malaysia.

Namun, semua ini tidak mematahkan semangat Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM), Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR) untuk meneruskan cita-citanya menjadi penerbit baru di dalam industri seni tanah air.

Bagi DDR, penglibatannya dalam penerbitan filem adalah satu permulaan bagi suatu bisnes baru walaupun di bidang yang jauh berbeza daripada bidang perubatan.

Beliau percaya, usahanya itu tidak mungkin gagal biarpun beliau tahu bahawa beliau kini sedang mengambil risiko yang besar seperti gagal dalam bisnes.

“Kalau doktor menerima kritikan buruk, ia bukanlah satu masalah untuk doktor kerana ia merupakan senjata utama untuk menjadi lebih baik.

“Lagipun, doktor rasa orang yang mempertikaikan seseorang individu adalah orang yang tiada hala tuju dan mempunyai hati yang tidak suci kerana berasa cemburu melihat kejayaan orang lain.

“Biasalah, tugas orang biasa adalah untuk memberi pandangan baik dan buruk. Tugas doktor pula adalah melakukan sesuatu di luar jangkaan orang ramai, itu baru pemikiran seorang pemimpin”, kata pemilik HPM dan penerbit filem 2 Alam ini.