JITRA, 29 Jan (HPM) – Coklat seringkali dikaitkan sebagai makanan ringan yang tidak mempunyai nilai pemakanan dan boleh memudaratkan kesihatan seperti kegemukan.

Di sebalik tanggapan negatif ini, coklat juga dikatakan mempunyai khasiat tertentu kepada penggemarnya kerana mengandungi protein, karbohidrat, tenaga dan beberapa vitamin serta mineral yang diperlukan.

Coklat  kaya dengan antioksidan seperti catechins an phenols yang membantu dalam pencegahan sakit jantung dan kanser.

Phenols dikatakan dapat melindungi daripada serangan sakit jantung, malah antioksidan yang wujud bukan setakat melindungi sel-sel dan DNA daripada radikal bebas, ia turut menghalang pembentukan bahan lemak yang boleh menyebabkan salur darah jantung tersumbat.

Makan coklat dikatakan boleh menguatkan sistem pertahanan badan serta mengurangkan risiko jangkitan selsema dan ia mengandungi bahan seperti ubat penenang yang menjadi penahan sakit serta meningkat tahap rasa kesihatan kerana coklat mengeluarkan endorphins yang membuat kita rasa gembira.

Justeru, coklat amat sesuai dijadikan makanan gantian semasa menjalankan aktiviti luar seperti mengembara, mengikuti ekspedisi pendakian, bersukan serta aktiviti rekreasi yang lain.

Selain itu, coklat merupakan bekalan makanan mudah yang boleh dimakan bila-bila masa dan di mana jua.

About these ads