Datuk Dr Che Rozmey..........Peluang hanya sekali manfaatkan sebaik-baiknya

JITRA, 13 Julai – “Sekiranya kejayaan yang anda inginkan jangan sesekali abaikan peluang yang terhidang manfaatkan sepenuhnya agar ianya berjalan lancar,” nasihat Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR) kepada golongan bangsa 1 Malaysia apabila ditanya mengenai kejayaan yang dimilikinya.

Beliau yang dulunya hanya bergelar Pakar Perbidanan dan Sakit Puan kini menerima gelaran sebagai pakar terhadap produk kesihatan dan kecantikan yang diformulasi olehnya sendiri.

Menurutnya, kejayaan yang dimiliki hari ini adalah berkat usaha beliau merebut peluang keemasan suatu ketika dahulu dengan hasil penyelidikan mengenai produk kesihatan yang dianggap sebagai penemuan baru penawar segala penyakit kronik.

“Bak kata pepatah jika tidak dipecahkan ruyung dari mana hendak mendapatkan sagunya yang memberikan maksud begitu mendalam supaya masyarakat hari ini bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-cita yang dinginkan,” katanya.

Presiden dR Group itu  berkata lagi, sebelum menemui kejayaan sebenar pelbagai ujian dan cabaran harus dilalui sepanjang perjalanan kehidupan seharian.

“Disamping itu, risiko dan sifat hasad dengki di dalam kelompok masyarakat kita sendiri memang tidak boleh dipisahkan semasa kita berada dikemuncak untuk mengecapi nikmat kejayaan.

“Namun harus diingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa segala musibah buruk yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya dan kebaikan akan diraih sekiranya anda bersabar dengan ujian-Nya.

“Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah anda lah yang bertanggungjawab dalam menentukan masa depan anda dan tiada siapa dapat memberikan kejayaan kepada anda kecuali anda sendiri.

“Jadi, usaha, doa dan tawakallah kepada Allah S.W.T kerana kurniaan-Nya adalah sesuatu yang indah dan manis rasanya serta janganlah sesekali lupa kepada-Nya sekiranya kita sedang mengecapi kejayaan,” tegasnya lagi.