ISTIQAMAH.......Jalan penyelesai menghadapi ujian yang menimpa ketika melakukan kebaikan

Renungan buat kita dan sesiapa yang ingin berubah menjadi baik…

Kekadang apabila seseorang itu terasa ingin berubah menjadi lebih baik dalam menjaga hubungan denganNya, pasti kita akan mendengar ura-ura yang mengatakan,”Camne nak berubah? Nanti lah dulu, rasanya hidayat belum datang lagi untuk aku…”

Adakah kita perlu menunggu hidayat baru kita hendak berubah? Hidayat bukan untuk ditunggu, tetapi untuk dicari.

“Sungguh, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” [Q.S. Al-Qasas 28:56]

Jikalau hidayat itu untuk dicari, bagaimana caranya?

Adakah hanya hendak mengharapkan majlis-majlis ceramah sahaja untuk membentuk diri kita?

Cukupkah hanya mengharapkan teguran atau nasihat orang lain baru ingin berubah?

Berbaloikah hanya sekadar mendengar peristiwa-peristiwa buruk di dada akhbar sahaja lalu menganggap bahawa mereka yang terlibat itu lebih teruk daripada kita, tanpa mengambil sedikit pun pengajaran untuk memperbaiki kesilapan kita?

Cukupkah hanya sekadar menjadi pahat sahaja, menunggu penukul untuk mengetuk kita?

Tidak! Bukan begitu, wahai saudaraku…
Kerana tindakan kita untuk berubah itulah membuktikan perubahan kita…

Tiada jalan mudah untuk menggapai keimanan, sedangkan tindakan kita dalam menggapai keredhaanNya itu terlalu jauh lebih berkesan daripada hanya sekadar bertekad dalam hati untuk berubah namun kemungkaran terus dilakukan.

Jangan berasa malu untuk berubah… Perbaikilah dirimu!

Biarkanlah apa yang orang lain katakan…
“Eleh, nak berubah konon…”
“Cheh, nak jadi alim juga dia…”
“Eh, kenapa tiba-tiba pakai tudung ni…”
“Eh, kau dah tak minat lagi ya kat dia? Malu siot la tu…”

Pedulikanlah kata-kata seumpama ini…

Kerana dalam menghijrahkan hati ke arah kebaikan, walau seburuk-buruk mana pun pandangan orang lain terhadap kamu, kamu tetap akan dipandang mulia oleh Allah S.W.T.

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepada kamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Q.S.Hud : 112)