RAJAGOPAL.......Watak utama dalam arena perlawanan bolasepak skuad negara

JITRA, 6 Julai – “Usah leka tetapi perbaikilah kubu pertahanan supaya tidak dibolosi oleh pihak lawan.” Inilah nasihat Datuk Dr Che Rozmey  Che Din (DDR) kepada skuad negara apabila diminta mengulas mengenai perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2014.

Peningkatan prestasi mutu permainan skuad bolasepak negara hari ini dilihat semakin meningkat naik berbanding sebelumnya tetapi ianya perlu digilap dengan lebih lagi demi mempertahankan nama negara yang dibawa.

Presiden dR Group (dRG) itu berkata, seharusnya penekanan perlu diberikan dibarisan pertahanan negara kerana tampak sedikit kelonggaran ketika menentang Taipei minggu lalu.

“Tidak dinafikan bahawa kesemua pemain skuad negara menggalas tanggungjawab masing-masing dengan penuh bersemangat namun ketika kita mendahului pemain sedikit terleka dengan jaringan yang dihasilkan.

“Perkara sebegini sepatutnya tidak terjadi kerana ianya merupakan peluang untuk skuad negara merangkul kemenangan namun peluang itu disia-siakan,” katanya.

Datuk Dr Che Rozmey berkata lagi, walaupun tewas ditangan skuad Taipei skuad Harima Malaya berjaya mengejutkan tuan rumah dengan jaringan-jaringan yang bermutu dan berkualiti sehingga membuatkan stadium Perbandaran Taipei terdiam sejenak.

“Inilah kualiti yang dicari oleh negara Malaysia dalam usaha untuk membangunkan negara supaya gah berdiri setaraf dengan antarabangsa dan menjadi kebanggaan rakyat jelata.

“Oleh itu, untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 peranan penting dalam menggandakan usaha perlu direncanakan oleh jurulatih negara K.Rajagopal agar memantapkan barisan pertahanan negara supaya tidak dirobek ketika menentang Singapura nanti.

“Walaubagaimanapun kesemua pemain juga perlu mengadakan persiapan secukupnya dari aspek fizikal dan mental serta memainkan peranan yang dipertanggungjawabkan untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga kelak,” ujarnya ketika ditemui.