DOA........Pohonlah kepada Allah S.W.T moga dibukakan pintu syurga seluas-luasnya demi memudahkan umat Islam memasukinya

BULAN Rejab merupakan bulan mulia yang penuh keberkatannya kerana pada bulan ini berlakunya peristiwa dalam sirah Islam tentang Isra’ dan Mikraj iaitu mengenai perjalanan Rasulullah S.A W yang dipenuhi pelbagai gangguan sebelum menongkah perjalanan bertemu Allah S.W.T.

Sebelum bermulanya perjalanan Rasulullah S.A.W untuk menghadap Allah Yang Esa baginda menjalani pembedahan dada/perut yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il untuk dibersihkan hatinya dengan air zam-zam demi membuang ketulan hitam (alaqah) dimana tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian, dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada baginda dan dijahitkan semula dada/perut dengan “khatimin nubuwah.”

Setelah selesai pembedahan itu, rasulullah S.A.W didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi dan memulakan perjalanan luar biasa itu.

Pelbagai pengetahuan yang diperolehi sepanjang perjalanan baginda dan setiap peristiwa ajaib yang berlaku itu mempunyai mesej-mesej tertentu.

Isra’ merupakan perjalanan Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram hingga ke Masjidil Al-aqsa manakala Mikraj merupakan tangga yang di daki oleh Rasulullah S.A.W dari langit pertama sehinggalah langit kesepuluh di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab berjumpa Allah S.W.T serta disaksikan oleh baginda sendiri lalu bersujud kepada-Nya. Setelah bersujud berlaku dialog antara Allah S.W.T dengan Rasulullah S.A.W :-

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah   : Labbaika.

Allah S.W.T  : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah    : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T   : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
(sumber : http://ustaznaim.blogspot.com/2009/07/peristiwa-israk-dan-mikraj.html )

Selepas bermunajat Rasulullah S.A.W menemui Nabi Ibrahim A.S kemudian Nabi Musa A.S disuruh merayu kepada Allah S.W.T memberikan keringan mengurangkan jumlah waktu sembahyang kerana dilihat umat Muhammad S.A.W adalah kerdil dan dhaif. Setelah sembilan kali merayu, akhirnya Allah S.W.T perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak sebanyak 50 waktu juga.

Jelaslah disini bahawa umat Nabi Muhammad S.A.W adalah umat yang bertuah dan istimewa kerana disebabkan Rasulullah S.A.W kita mendapat kemudahan (rukhsoh) menjalankan kewajipan sebagai umat yang bergelar Islam.