MEMBERI SALAM......mulakan dengan ucapan salam di dalam menempuh kehidupan seharian anda

Daripada Abu Hurairah r.a ia telah berkata, Rasulullah saw telah bersabda: “Kamu tidak akan memasuki Jannah (Syurga) sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak beriman sehinggalah kamu saling berkasih sayang terlebih dahulu, mahukah aku menunjukkan kamu kepada sesuatu yang jika sekiranya kamu lakukan, kamu akan saling berkasih sayang; (iaitu) Sebarkanlah salam di kalangan kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Dalam hadis di atas, Rasulullah saw telah menyatakan bahawa amalan menyebarkan salam dapat melahirkan rasa kecintaan dan kasih sayang. Maka berikanlah salam kepada sesiapa sahaja di kalangan Muslimin sama ada orang tersebut kita kenali atau tidak.

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a, sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya Nabi saw: “Apakah (amalan) yang terbaik dalam Islam?” Jawab (Nabi) saw: “Engkau memberi makan, dan engkau mengucapkan salam ke atas sesiapa yang engkau kenal dan tidak kenal.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).