Rancangan Adik-adikku lahirkan pemidato islamik

SYABAS diucapkan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta badan-badan yang terlibat kerana berjaya melahirkan pemidato-pemidato cilik yang berjiwa besar menerusi Program Adik-Adikku di TV1 semalam.

Walaupun baru berusia lingkungan 10 tahun pemidato-pemidato cilik ini sudah petah berkata-kata dan mempersembahkan pidatoi mereka dengan penuh bertenaga.

Berkonsepkan unsur islamik para pemidato memilih tajuk yang berkisarkan dengan isu semasa serta perkara yang berlaku di era gobalisasi kini.

Pemilihan tajuk serta persembahan yang memukau semua penonton yang hadir mahupun di depan kaca televisyen memberikan satu impak yang besar dalam mendorong warga 1 Malaysia untuk bangun dari lamunan arus kehidupan yang semakin canggih ini.

Inilah yang sepatutnya diberi dorongan serta sokongan terhadap anak-anak kecil ini dalam usaha mencorakkan mereka supaya tidak terjebak dengan arus pembangunan sosial yang semakin menular hari ini.

Persembahan mantap, lakonan penuh aksi dan bijak berkata-kata melahirkan bakat yang terpendam di lubuk hati setiap anak-anak kecil ini.

Mesej yang disampaikan melalui persembahan mereka cukup untuk direnungkan sejenak agar tidak terlupa dengan kehidupan yang penuh pancaroba.

Disamping menjadi pemidato yang cemerlang mereka inilah warisan yang bakal menjadi pemimpin kelak dan seharusnya kita perlu menjaga mereka kerana adalah permata yang perlu digilap supaya senantiasa berkilauan cahayanya.

Program sebegini sudah semestinya perlu diteruskan agar ianya berkekalan dan dengan cara ini jugak sedikit sebanyak membantu permasalahan sosial terhadap remaja yang merumitkan.