Jauhi rokok tingkatkan kesihatan

JITRA, 21 Februari – Penyakit jantung merupakan penyakit yang mengganggu sistem pembuluh darah atau lebih tepatnya menyerang jantung dan urat-urat darah yang juga disifatkan sebagai pembunuh nombor satu di Malaysia.

Punca utama yang boleh menyebabkan seseorang individu terdedah kepada penyakit jantung adalah rokok atau tembakau yang mengandungi lebih 4000 bahan kimia termasuk tar, nikotina dan karbon monoksida.

Menurut Presiden dR Group (dRG) Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR) perokok tegar sering terdedah kepada pemnyakit berbahaya ini kerana kesihatan mereka terjejas akibat daripada sedutan asap yang mengandungi 40 karsinogen.

“Selain itu, penyakit jantung bukan sahaja daripada akibat daripada penggunaan produk tembakau malah ianya meliputi diet, senaman, waktu bekerja yang juga memberi gambaran sebenar mengenai gaya hidup moden dan kelekaan masyarakat tentang pentingnya kesihatan jantung mereka,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, rokok juga menyebabkan seseorang itu terdedah dengan jangkitan paru-paru yang bukan sahaja untuk perokok malahan orang yang berada disekelilingnya.

“Sekiranya keadaan ini berlaku ianya akan memnyebabkan sistem pembuluh pada jantung tidak akan berfungsi seterusnya bakal menyebabkan kematian.

“Jadi, doktor nasihatkan kepada masyarakat supaya menitikberatkan mengenai jantung anda dan bagi perokok disarankan kepada mereka supaya berhenti dengan tabiat buruk itu serta amalkan gaya hidup yang sihat dan aman,” ujarnya lagi ketika ditemui.