Nabi Muhammad S.A.W adalah kekasih Allah S.W.T

SETIAP tahun umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.

Terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad S.A.W kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan disisi Allah.

Bukan itu sahaja malahan jika hati kecil membisik untuk bernazar melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelaslah ditunjukkan kepada kita bahawa pembalasan Allah S.W.T terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan ianya sudah sudah dianggap menerima balasan yang tidak ternilai harganya.

Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah serta mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah S.W.T.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut memperoleh  keberkatan-Nya.

Inilah dinamakan sebagai umat manusia yang bergelar Islam kerana Islam memberikan keistimewaan terhadap umatnya walaupun ianya didahului hanya sekadar niat yang ikhlas.

Sekiranya niat yang dilakukan oleh umat Islam disusuli dengan usaha yang gigih ganjaran yang berganda bakal diperolehi oleh mereka.