Sabar itu separuh daripada iman

SESUNGGUHNYA Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar kerana kesabaran adalah satu nilai murni yang patut diterapkan di dalam diri kita sebagai makhluk di muka bumi.

Ajaran Islam sudah menerangkan bahawa ganjaran lumayan bakal diperolehi sekiranya sifat kesabaran ini menjadi pegangan utama di dalam kehidupan.

Jika kesabaran tidak menjadi pegangan hawa nafsu menguasai diri manusia akan hilang pertimbangan yang mengakibatkan sesuatu perkara buruk berlaku.

Ini berlaku kepada sebuah keluarga yang berasal dari Besut, Terengganu mengenai seorang bapa yang tiba-tiba mengamuk akibat gagal mendapatkan wang yang diminta terhadap anak sulungnya yang bekerja sambilan di kedai makan.

Disebabkan terlalu berang kerana anak sulungnya yang enggan memberikan wang lelaki yang berusia 59 tahun itu menghalau keempat-empat anaknya keluar dari rumah.

Akibatnya empat beradik iaitu tiga perempuan yang berusia lapan, 10 dan 14 tahun serta seorang lelaki yang berusia tujuh tahun terpaksa bermalam di sebuah bangsal dalam hutan ketika hujan lebat.

Lebih tragis lagi apabila anak sulung yang berusia 14 tahun itu membongkarkan segala perlakuan jahat bapanya yang selama ini melakukan penderaan terhadap mereka.

Empat beradik itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu untuk menghantar anaknya ke sekolah dan kemudian menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan keran dilihat terlalu lesu dan tidak bermaya.

Setelah siasatan telah dijalankan bapa mereka ditahan dan direman mengikut Seksyen 31, Akta kanak-Kanak 2001.

Jelaslah menunjukkan bahawa jika sifat kesabaran tidak dititikberatkan hawa nafsu bermaharajalela dan ianya tidak dapat dibendung melainkan diri sendiri demi merubah kearah kebaikan.