Sayur-sayuran amat diperlukan di dalam tubuh badan

Kita memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan seharian serta makanan yang mampu memberi dan menambahkan tenaga bagi memastikan badan kita mampu melakukan kerja-kerja harian dan otak kita pula mampu berfikir.

Kesihatan yang baik juga berpunca daripada pemakanan yang seimbang dan sempurna kerana kesihatan merupakan aset penting bagi kita. Sekiranya tanpa tahap kesihatan yang baik kita akan diserang pelbagai penyakit dan sukar untuk melakukan aktiviti harian dengan sempurna.

Namun masih ramai di antara kita yang tidak sedar bahawa faktor pemakanan yang tidak sihat juga mengundang kepada masalah kesihatan yang boleh membawa maut dan secara tidak langsung merupakan punca utama penyakit yang kronik seperti kanser, penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Corak dan cara pengambilan makanan yang sistematik perlu dimulakan di peringkat awal lagi iaitu ketika kanak-kanak supaya amalan ini akan menjadi kebiasan apabila kita menanjak dewasa dan memberikan kesan yang berterusan serta memberikan tahap kesihatan yang optimum.

Kebanyakan di antara kita lupa atau terlalu sibuk untuk menyediakan makanan yang ingin dimasak daripada sumber bahan mentah yang segar. Kita sering mengambil langkah yang mudah dengan membeli makanan ´dingin beku´ atau membeli makanan segera seperti burger, speggeti dan banyak lagi tanpa memikirkan sumber khasiat yang ada dalam makanan tersebut.

Tabiat makanan seperti ini tidak sesuai bagi mereka yang ingin mengekalkan tahap kesihatan yang baik sehingga mencapai usia yang menjangkau lepasan pencen kerana tahap kolestrol yang tinggi terdapat dalam makanan seperti ini.

Selain itu, bahan-bahan makanan seperti ini terdedah pada penggunaan bahan pengawet dan pewarna yang tidak sesuai dimakan dalam tempoh yang terlalu kerap. Malahan makanan seperti ini juga telah kehilangan zat-zat yang diperlukan oleh badan dan antara cara permakanan yang tidak baik untuk diet yang seimbang.

  • Makanan yang terlalu banyak lemak dan kolesterol
  • Makanan yang mengandungi gula yang berlebihan
  • Makanan yang banyak kandungan garam
  • Makanan yang kurang berserat
  • Perisa tambahan
  • Kandungan kafein yang tinggi
  • Pengambilan alkohol