DDR...kontroversi dan kritikan menjadi asam garam

JITRA, 6 Oktober – Sudah pasti ramai yang mengenali Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR) yang terkenal dengan fenomena luar biasa yang beliau cetuskan.

Namanya kini bukan sahaja terkenal di Malaysia, Singapura dan Indonesia malah menjadi perbualan hangat media massa menerusi strategi dan label dR Rozmey.

Penerbit dR Movie Production itu berkata, percaturan untuk filem 2 Alam pecah panggung RM40 juta menimbulkan kontroversi serta kritikan yang hebat menerusi penulisan di akhbar.

“Bermula daripada pembikinan filem sehinggalah penetapan tarikh sebenar mengenai filem 2 Alam untuk menemui khalayak dipanggung seluruh tanahair,” katanya.

Beliau berkata lebih 40 liputan media yang mempersembahkan pelbagai cerita dan pandangan mengenai kehadiran beliau dalam dunia perfileman yang disiarkan di ruangan akhbar sejak Januari sehinggalah Ogos lalu.

“Tidak dinafikan bahawa Malaysia adalah negara yang memiliki penulis-penulis yang berbakat dan hebat menerusi karya penulisan yang tinggi nilainya namun doktor berjaya menepis segala isu yang disiarkan.

“Sebaik sahaja penetapan tarikh filem 2 Alam sudah diuar-uarkan tiada lagi kritikan dan kontroversi yang timbul berkemungkinan mereka kini sudah bersama-sama doktor untuk menghasilkan sesuatu kejayaan yang luar biasa.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan kini doktor hanya berdoa kepada Maha Pencipta dan Pemberi Rezeki untuk mengabulkan segala hajat dan niat suci doktor,” kata pemilik label dR Rozmey itu ketika ditemui di pejabat beliau semalam.