DDR...minda positif

JITRA, 1 Oktober – “Jika anda seseorang yang berkecimpung di dalam dunia perniagaan kritikan dan cemuhan adalah perkara biasa yang berlaku terhadap ahli perniagaan,” kata Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR).

Menurut DDR, perkara sebeginilah yang berlaku kepada beliau yang terkenal dengan produk pelangsingan badan iaitu Jus Mate 5 (JM5) dan juga penerbit filem 2 Alam yang sering terdedah kepada cemuhan dan kritikan dari masyarakat dalam mencipta kejayaannya.

“Kritikan dan cemuhan adalah lumrah serta asam garam dalam kehidupan seseorang yang bergelar ahli perniagaan malah ianya perlu ada bagi mengenalpasti kesilapan yang tidak dapat dilihat,” katanya.

Katanya lagi, jika kita inginkan kejayaan yang diimpikan menjadi kenyataan segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan perlulah dijadikan sebagai pembakar atau dorongan semangat untuk menciptakan kejayaan kita sendiri dan jangan sesekali mudah berputus asa.

“Ini jelas sekali membuktikan bahawa kejayaan doktor dalam menghasilkan karya yang berprofil tinggi iaitu 2 Alam menimbulkan kontroversi yang menyebabkan doktor sendiri dikritik dan di cemuh pada peringkat awalnya namun kini semua rakyat Malaysia bersama-sama doktor untuk pecah panggung RM20 juta,” tambahnya yang juga Penerbit dR Movie Production.