DDR...pakar selidik

JITRA, 20 September – “Pihak produksi terlebih dahulu menjalankan penyelidikan yang memakan masa lima tahun sebelum menghasilkan filem 2 Alam,” kata Datuk Dr Che Rozmey Che Din ketika ditemui semalam.

Menurut DDR, hasil daripada penyelidikan yang dijalankan pihak produksi berjaya menghasilkan sebuah karya filem terhebat masa kini yang penceritaannya adalah mengenai perihal budaya masyarakat kini.

“Ini jelaslah bahawa pembikinan 2 Alam adalah bertujuan untuk mendedahkan budaya masyarakat kini yang semakin rapuh iman mereka untuk mempertahankan diri mereka dari terjebak dengan gejala yang bakal menimbulkan sejuta penyesalan di dalam diri,” katanya.

Pemilik dR Movie Production itu berkata lagi, kehadiran filem 2 Alam bakal memberikan pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat bagi menjauhi budaya sosial yang semakin menular di negara ini.

“Filem 2 Alam mengisahkan seseorang insan yang telah terpesong dari agamanya sendiri yang hidupnya bergelumang dengan tujuh dosa besar iaitu menjadi anak derhaka, tukar jantina, seks bebas, mabuk, tukar agama dan kehidupan sosial yang terlampau.

“Penghujungnya, kehidupannya ditamatkan tanpa memohon keampunan dari Illahi dengan dosa yang telah dilakukan dan bakal menanggung balasan dan siksaan di alam barzakh,” tegasnya dalam usaha membanteras aktiviti gejala sosial yang semakin berleluasa kini.