DDR......pemikiran kreatif

JITRA, 4 SEPTEMBER – Kejayaan dalam melariskan sesuatu barangan yang ingin dijual terhadap khalayak bermula daripada sifat kreativiti pemiliknya dalam mempromosikan produk atau barangan yang telah dihasilkan dengan usahanya sendiri.

Sifat semulajadi ini terbukti dimiliki oleh penerbit dR Movie Production iaitu Datuk Dr Rozmey Che Din (DDR) yang telah mengejutkan seluruh warga rakyat Malaysia serta industri filem di negara ini dengan cara penjualan filem sulongnya iaitu 2 Alam.

Menurut DDR, tahap keyakinan yang tinggi dan keberanian menanggung segala risiko perlu ditanamkan di dalam diri bagi memastikan sesuatu perkara yang dibuat adalah mengikut landasan yang betul dan tidak terpesong dari apa yang dirancangkan.

“Justeru itu, untuk memastikan segala perancangan berjaya mengikut acuan tersendiri, doktor seharusnya berani dalam merencanakan strategi luar biasa yang pada zahirnya mungkin sukar diterima dan memujuk masyarakat bersama-sama menyertai tentang sesuatu perkara yang didedahkan,” katanya.

Beliau berkata lagi, penghasilan sesuatu yang luar biasa di dalam masyarakat kini merupakan sesuatu perkara yang penting dalam melancarkan pelbagai bisnes.

“Walaubagaimanapun doktor yakin bahawa apa yang diperjuangkan oleh doktor  menerusi fenomena dR Rozmey adalah selaras dengan keinginan masyarakat kini,” ujar anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu.