DDR....pencetusan idea baru bantu industri filem negara

JITRA, 29 Ogos – “Inilah yang dikatakan fenomena dan kehadiran 2 Alam jelas terbukti memberikan impak positif terhadap industri filem negara,” kata Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR) ketika menjawab persoalan mengenai promosi yang beliau lancarkan terhadap 2 Alam menjadi contoh terhadap pihak produksi lain.

Menurutnya, beliau berbangga kerana pencetusan idea barunya itu menjadi ikutan terhadap pihak produksi lain untuk bersama-sama membangunkan industri perfileman negara.

“Ini juga dianggap sebagai kejayaan terhadap filem 2 Alam yang sebelum ini menerima pelbagai kritikan dan cemuhan yang hebat,” katanya.

Katanya lagi, perubahan sebegini harus dilakukan demi mempertingkatkan industri hiburan dan perfileman negara untuk meniti kemajuan standing dengan industri hiburan antarabangsa.

“Sehubungan itu, zaman serba moden ini haruslah disulami dengan minda positif untuk menghasilkan idea-idea yang luar biasa bagi memperoleh kejayaan yang melipat ganda sekaligus memberikan kepuasan maksima terhadap masyarakat.

“Inilah cara doktor iaitu melahirkan sesuatu yang luar biasa untuk kepentingan bersama dan berjuang untuk memartabatkan serta mengembalikan era kegemilangan filem Melayu yang hilang sejak 40 tahun lalu,” kata penerbit dR Movie Production itu sambil tersenyum.

Advertisements