JITRA, 7 Julai (HPM) — Menjadi satu kebanggaan kepada Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR) apabila filem sulung beliau akhirnya berjaya disiapkan dan hanya menunggu masa untuk ditayangkan.

Pelbagai kontroversi tercetus selepas 2 Alam diuar-uarkan berjaya mencipta kutipan pecah panggung serta beberapa masalah lain yang menimbulkan kekecohan di kalangan masyarakat sehingga DDR dikecam hebat.

Ujian yang menimpa ke atas 2 Alam dan DDR sendiri bagaikan satu rahmat buat beliau kerana akhirnya beliau berjaya mengharungi segala kepayahan, tohmahan dan kontroversi yang melanda.

Menurut DDR, beliau langsung tidak mempedulikan umpatan orang kerana akhirnya kata-kata mereka itu akan berlalu sebegitu sahaja.

“Doktor anggap ini sebagai satu cabaran buat doktor kerana sebagai orang baru dalam industri perfileman, doktor akan mengikut rentak industri ini bagi menyesuaikan diri.

“Walaubagaimanapun doktor amat bersyukur kerana akhirnya 2 Alam mendapat perhatian masyarakat dan ramai yang memberi sokongan terhadap filem arahan Ed Zarith Z Lokman dan Hairie Othman ini,” katanya.

2 Alam mengisahkan tentang perjalanan hidup Amy yang menukar jantina daripada lelaki kepada perempuan dan melakukan pelbagai dosa besar serta menerima pembalasan ketika meninggal.

Filem ini pastinya akan memberi kesan kepada masyarakat dan mempunyai nila-nilai murni yang dapat menginsafkan penonton dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara September ini.

Advertisements