JITRA, 14 Feb (HPM) – PEMBERIAN makanan berkhasiat penting dalam tumbesaran seseorang dari peringkat bayi hingga dewasa. Justeru, pemberian awal susu penting untuk mempertingkatkan kekuatan tulang dan meningkat daya ingatan serta kecerdasan otak kanak-kanak.

Pemberian susu ibu adalah khasiat terbaik untuk bayi dan ia mesti diberi secara berterusan. Oleh itu, setiap ibu mesti bijak memilih susu gantian yang mengandungi semua khasiat yang diperlukan dan 89 peratus daripadanya adalah air.

Susu mengandungi kalsium yang tinggi

Pakar Pemakanan Kanak-Kanak, Mary Easaw John, berkata susu membekalkan hampir semua khasiat asas dan menjadi sumber protein dan kalsium yang bermutu tinggi. Ia juga kaya dengan fosforus, riboflavin, vitamin A dan D.

Bagi memastikan pemberian susu mencukupi untuk tumbesaran tubuh dan otak kanak-kanak, pastikan hidangan yang disajikan mesti mengandungi susu yang dipelbagaikan seperti membuat puding, minuman bersusu atau sup berkrim. Dengan cara ini, anak anda akan seronok dan berselera setiap kali dihidangkan makanan ini.

Susu juga membantu mengekalkan kecairan dan khasiat mineral dalam tubuh selain bertindak sebagai daya tahan kepada segala penyakit. Tahukah anda bahawa untuk mendapatkan tulang belakang yang sihat dan kuat, anda perlu mendapat 99 peratus kalsium yang kebanyakannya datang daripada susu. Apabila keperluan kalsium mencukupi, ia dapat mengelak risiko tulang reput atau osteoporosis apabila meningkat tua nanti.

Antara khasiat lain terkandung dalam susu ialah vitamin A, iaitu penting untuk pertumbuhan sel tubuh bagi melindungi daripada jangkitan pada kulit, tisu dalam mulut, perut, usus dan melancarkan sistem pernafasan. Khasiat vitamin A juga membolehkan mata melihat dalam gelap dan sebagai bahan antioksidan bagi mengurangkan risiko barah.

Susu juga mengandungi fosforus untuk meningkatkan tenaga metabolisme dalam tubuh yang juga bahagian penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi. Selain susu, fosforus juga ada dalam ikan, daging, keju Ceddar, tauhu, mentega kacang dan telur.

Susu juga mengandung khasiat magnesium yang berfungsi dalam pertumbuhan tulang, sel otot-otot dan sistem saraf. Khasiat ini juga terkandung dalam bayam, mentega kacang, roti gandum dan spageti. Khasiat riboflavin atau dikenali vitamin B2 juga penting dalam menghasilkan tenaga untuk keperluan pertumbuhan sel tubuh. Selain terkandung dalam susu, khasiat ini terkandung dalam dadih, hati, telur dan roti gandum putih.

Kanak-kanak pintar biasanya mendapat khasiat mencukupi daripada pemakanan seharian.

About these ads