JITRA, 30 Jan (HPM) – Air kosong merupakan bahan kedua terpenting di dalam badan kita selepas oksigen.

Setiap manusia mengandungi 55 peratus hingga 75 peratus air. Air sangat penting untuk membantu penghadaman, penyerapan dan penyingkiran makanan yang dimakan.

Selain itu, air juga membantu perkumuhan bahan buangan dari usus dan buah pinggang.

Fungsi lain bagi air dalam tubuh kita ialah untuk menyelaraskan suhu badan 24/7 serta memberi kelancaran pergerakan sendi dan membran.

Hampir 92 peratus kandungan darah ialah air. Darah merupakan sistem pengangkutan yang berfungsi ‘mengagihkan’ nutrien makanan ke seluruh tubuh.

Air penting untuk tubuh badan

Manakala rembesan tubuh dan cecair penghadaman hampir keseluruhannya adalah air. Sistem penghadaman manusia menghasilkan hampir 1.7 liter air liur setiap hari.

Disebabkan fungsi-fungsi yang penting ini, dalam keadaan normal tubuh memerlukan antara satu hingga dua liter air setiap hari supaya ia berfungsi secara optimum.

Jumlah ini juga bergantung kepada saiz, diet, sejauh mana individu tersebut mengamalkan gaya hidup aktif dan keadaan cuaca persekitaran.

About these ads